Parkson Credit meneruskan pengukuhan komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social, and Governance – ESG) melalui inisiatif Tanggungjawab Korporat (CSR) untuk kebajikan haiwan. Bersama rakan niaga motosikal, Parkson Credit telah menaja dua ekor Tapir Malaya di Zoo Negara. Ini merupakan dedikasi syarikat terhadap usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hidupan liar.
Tapir Malaya (Tapirus indicus), juga di kenali sebagai Tapir Asia atau Tapir Hitam-Putih, telah disenaraikan sebagai Haiwan Terancam dalam IUCN Red List sejak 2008, kerana populasi di anggarkan kurang daripada 2,500 ekor haiwan.
Selain itu, pemusnahan habitat di semenanjung Malaysia menyebabkan 142 ekor Tapir Malaya kehilangan habitat di antara tahun 2006 hingga 2010. Di antara tahun 2015 hingga 2020, terdapat 92 ekor Tapir Malaya yang telah menjadi mangsa kemalangan jalan raya.
Inisiatif tajaan Tapir Malaya yang dilaksanakan oleh Parkson Credit dan rakan niaga motosikal pada tahun ini meliputi penyelenggaraan, perbelanjaan makan dan pemuliharaan. Inisiatif ini sejajar dengan usaha Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social, and Governance – ESG) Syarikat kerana menaja kebajikan haiwan diiktiraf sebagai sumbangan utama kepada Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Parkson Credit juga ingin menyeru kepada organisasi dan individu untuk melibatkan diri dalam misi penjagaan dan pemuliharaan hidupan liar di Zoo Negara supaya ia dapat dikekalkan untuk generasi yang akan datang.